LEBIH kurang 2,000 peserta dari seluruh negara dijangka menyertai Sukan Gabungan Agensi Amanah Bumiputera dan Perusahaan Awam (Gemaputera) 2000 kali kelapan di Kuantan, September ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata, pada kali ini Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) akan menjadi tuan rumah temasya sukan dari 6 hingga 9 September itu.
Kata beliau, temasya ini bakal disertai semua kakitangan sepenuh masa dari Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan agensi-agensi yang bernaung di bahawanya.
”Sukan Gemaputera menjadi satu landasan tepat merapatkan kerjasama agensi bumiputera dan Kementerian Pembangunan Usahawan. Ia juga merupakan wadah kesihatan yang bersifat perpaduan dan disiplin diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran maskot rasmi Sukan Gemaputera yang menggambarkan haiwan gajah di Kuantan Tembeling Resort di sini, hari ini.
Antara perbadanan awam yang mengambil bahagian pada Sukan Gemaputera VIII ini termasuk Perbadanan Johor (PJ), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Majlis Amanah Rakyat.
Lapan acara yang dipertandingkan pada temasya yang bertemakan Kegigihan, Kekuatan, Kecemerlangan ini ialah badminton, boling, bola sepak, golf, memancing, bola jaring, karom dan tenis.
Setelah menjuarai acara bola jaring pada temasya dwitahunan ini selama tiga kali berturut-turut, PKNP dijangka terus menjadi pilihan utama untuk mempertahankan gelaran terutama apabila memiliki kelebihan gelanggang dan penyokong sendiri.
Adnan turut menyeru pengusaha hotel khususnya di Kuantan, supaya mengambil kesempatan daripada kebanjiran kontinjen peserta dengan membantu mempromosi bidang pelancongan tempatan.
”Kita mahu mereka memberikan perkhidmatan terbaik dan layanan mesra kepada tetamu Kuantan ini kerana cuma cara ini bakal mendatangkan pulangan lumayan kepada perniagaan dan pelancongan Pahang,” katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0726&pub=utusan_malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4wDsjEglS
© Utusan Melayu (M) Bhd