Berita

PERBADANAN MEMAJUKAN IKTISAD NEGERI TERENGGANU

MAJLIS PENYERAHAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN KAWASAN INDUSTRI NEGERI TERENGGANU KEPADA PMINT

 

KUALA TERENGGANU, 8 Mac 2021 – KUALA TERENGGANU, 8 Mac 2021 – Majlis Penyerahan Pembangunan Dan Pengurusan Kawasan Industri Negeri Terengganu Kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah diadakan di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar. PMINT telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan dan menguruskan kawasan industri negeri Terengganu sebagaimana keputusan yang telah dipersetujui Kerajaan Negeri pada 29 Julai 2020 lalu. Sebagai permulaan, PMINT bakal memiliki tanah industri yang masih milikan kerajaan yang mana masih belum ditawarkan kepada mana-mana pelabur. Berdasarkan rekod, Negeri Terengganu mempunyai 25 kawasan perindustrian yang telah dizonkan.

Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, YB Ustaz Muhammad Khalil bin Abdul Hadi, Pengarah Tanah Dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengarah UPEN, Tuan Haji Samiun bin Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Tuan Haji Wan Adnan bin Wan Derahman.

PMINT selaku agensi di bawah Kerajaan Negeri yang diberi tanggungjawab membangunkan ekonomi dan pertumbuhan pelaburan di Negeri Terengganu akan memastikan tanah industri yang diberikan ini dibangunkan sepenuhnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan sebagaimana yang dirancang. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang terbuka untuk menarik para pelabur datang ke Terengganu, Kerajaan Negeri melalui PMINT sentiasa bersedia untuk berkerjasama dan berbincang dengan mana-mana syarikat pelabur daripada dalam dan luar negara dengan menawarkan pajakan tanah industri berstatus milikan kerajaan di seluruh daerah di Negeri Terengganu. Pihak PMINT juga akan merangka kawasan perindustrian yang bersesuaian dengan mengambil kira jenis industri yang akan diusahakan oleh pelabur dan akan berkerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri serta agensi kerajaan persekutuan yang berkaitan untuk penyelarasan promosi, insentif atau geran peruntukan bagi tujuan pembangunan perindustrian ini disamping memberi khidmat nasihan dan pandangan mengenai etika dan garis panduan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Share